Friday, May 6, 2011

Pembunuhan Kejam di Bentong...


BENTONG 4 Mei - Seorang kontraktor warga emas bersama isterinya ditemui mati dibunuh kejam, dipercayai dengan menggunakan cangkul dan objek tajam di bilik tidur rumah mereka di Kampung Gemeti di sini awal pagi ini.

Mayat Mohammad Yusof @ Abdul Rashid Samang, 71, ditemui dengan dua kesan tikaman di bahagian dada dan perut manakala isterinya, Timah @ Fatimah Pachu, 68, maut dengan kesan kecederaan di tengkuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, polis menerima panggilan penduduk mengenai kejadian itu pada pukul 1.30 pagi setelah terdengar bunyi bising dan jeritan kuat dipercayai oleh kedua-dua mangsa.

"Ketika kejadian, keadaan di sekitar kawasan itu gelap. Ada jiran mendakwa mereka terdengar bunyi seseorang melarikan diri dari bahagian belakang rumah mangsa," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Narenasegaran, sebaik sahaja tiba di rumah itu, polis menemui mayat pasangan terbabit dalam bilik tidur utama di tingkat atas rumah dua tingkat milik mereka yang terletak berhampiran jalan utama.

Katanya, mayat Mohammad Yusof ditemui terlentang di tepi pintu tandas bilik tidur itu dengan kesan tikaman di bahagian dada dan perut sementara isterinya ditemui di tepi katil dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan di tengkuk.

Kata beliau, polis turut menemui cangkul yang dipercayai diguna untuk membunuh pasangan itu hasil pemeriksaan di sekitar bilik mangsa.

Narenasegaran memberitahu, selain cangkul, polis juga masih mengesan satu lagi objek tajam yang dipercayai diguna dalam pembunuhan tersebut.

"Tiada kesan pecah rumah dan hasil pemeriksaan dijalankan, senapang milik mangsa juga tidak diambil suspek.

"Berdasarkan siasatan, kami percaya kejadian ini melibatkan seorang suspek yang dikenali oleh mangsa namun setakat ini identiti suspek terbabit belum dikenal pasti," ujarnya.

Beliau turut menolak motif pembunuhan pasangan itu melibatkan kes samun atau dendam kerana tiada barangan berharga hilang.

Pihak polis, katanya, akan meneruskan siasatan lebih menyeluruh termasuk mendapatkan keterangan jiran, ahli keluarga dan pekerja mangsa bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung kes ini.

Apakah sikap perikemanusiaan telah mula hilang pada hati segelintir manusia dizaman ini. Ya Allah rahmatilah suami isteri ini, moga ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh AMIN. Al Fatihah...

*Sumber dari UTUSAN online

No comments: